KUALA LUMPUR : Usaha untuk membasmi budaya rasuah perlu terus diperkasa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penganalisis politik dan penulis, Anas Zubedy berkata, Ismail Sabri juga perlu memastikan tiada sebarang campur tangan politik dalam isu-isu berkaitan rasuah.

Bahkan, tegasnya, tidak perlu ada campur tangan ahli politik dalam kes rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana ia merupakan teras utama demokrasi.

Beliau berkata, usaha membanteras rasuah perlu terus diperkasa termasuk meningkatkan kuasa dan akses kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anas turut menegaskan, Perdana Menteri kesembilan itu juga wajar memberi tumpuan kepada isu dana politik, justeru menggubal undang-undang berkenaan, turut dialu-alukan.

“Kalau kita ingin menangani rasuah, SPRM perlu diberikan kuasa yang lebih kuat dan segala kes yang dikesan wajar dimaklumkan terus di Parlimen,” kata Anas, ketika ditemu bual  dalamAstro AWANI, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Anas turut berpendapat, negara dan masyarakat perlu melihat kesan rasuah dalam aspek yang meluas meski pun aktviti itu melibatkan angka yang kecil.

Selama ini, seolah-olah sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat apabila berlaku rasuah dalam nilai kecil, tidak diambil berat, katanya.


Rasuah | Elak campur tangan politik, perkasa kuasa SPRM

Mengambil contoh negara luar, beliau berkata, rasuah ialah subjek yang sensitif bahkan boleh mendapat liputan muka depan akhbar, sekalipun tidak melibatkan jumlah yang berjuta-juta ringgit.



Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara

BACA: Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Lambaian tangan pertama Perdana Menteri Kesembilan
 
BACA: "Saya akan jalankan tugas dan amanah ini untuk Malaysia" - Ismail Sabri