KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.


Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri


Perdana Menteri menandatangani beberapa dokumen

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9: Menjelang istiadat angkat sumpah di Istana Negara

Selain itu, turut kelihatan ialah ketua-ketua parti politik negara seperti Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Foto tangkapan layar Astro AWANI

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kehilangan majoriti selepas 15 Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Ahmad Zahid, telah mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. 

Sehubungan itu, pada 17 Ogos lepas, Speaker Dewan Rakyat telah mengutuskan surat kepada kesemua 220 Ahli Parlimen, memaklumkan titah Tuanku Agong bahawa mereka semua perlu mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) bagi memilih seorang calon Perdana Menteri.

Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail Sabri, telah dititahkan untuk menghadap Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka.

Selesai pertemuan Agong dengan enam Raja-raja Melayu pada Jumaat, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu. 


[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Ismail Sabri