PASIR SALAK:Beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO dikatakan akan mengikut langkah Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mengakui beliau mendengar khabar mengenai perkara itu namun tiada pengesahan mengenai identiti wakil rakyat terbabit.

Beliau berkata, tindakan Ahmad Jazlan itu menjadi pencetus kepada perubahan Ahli Parlimen UMNO.

Bagaimanapun,  beliau berkata, tindakan itu bukan keputusan parti, sebaliknya keputusan individu berkenaan.

"UMNO tidak terlibat dalam perkara ini. UMNO buat keputusan kita bersama Bersatu sehingga pilihan raya, itu keputusan parti.

"Kalau pilihan raya bulan Mac... bulan Mac (kekal bersama Bersatu)... kalau bulan Jun, bulan Jun.

"(Saya) Dengar cerita ada, dengar cerita... tak tau siapa, dengar ceritalah. Ini (susulan) apa yang berlaku... dilakukan oleh Datuk Jazlan tu sebagai ‘trigger’, dia pencetus kepada perubahan," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Kami Prihatin, Seronoknya ke Sekolah di Dataran Belia, Felcra Changkat Lada, Pasir Salak pada Ahad.

BACA: Ahmad Jazlan tarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional

BACA: UMNO akan bincang keputusan Ahmad Jazlan tarik sokongan - Ismail Sabri

Pada Sabtu, Ahmad Jazlan dalam sidang media di Kota Bharu mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan PN.

Pendirian Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu menyaksikan kerajaan PN ketika ini memiliki sokongan 110 daripada 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Terdahulu Tajuddin menyampaikan bantuan kepada 115 pelajar kurang berkemampuan yang disumbangkan oleh sebuah syarikat swasta dengan kerjasama Skuad Belia Prihatin Pasir Salak.