Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada Selasa bersetuju dengan keputusan DAP untuk menamatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, perkara itu tidak semestinya membawa maksud buruk, malah boleh dilihat sebagai satu kelahiran semula.

"Itu apa yang saya kata; Pakatan Rakyat dibuat oleh tiga parti, jika satu tarik diri, maka Pakatan sudah tidak ada lagi.

“Saya kira ini sebagai kelahiran semua yang boleh dilihat dalam pelbagai cara, isi perjuangan untuk rakyat harus kekal sama ada dengan PAS atau tidak," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu kepada pemberita di Parlimen, Selasa.

Kata Mujahid, apa yang paling penting sekarang ialah isi atau maksud perjuangan sesuatu parti itu dan bukannya nama.

"Siapa pun boleh tubuh parti selagi adanya akar umbi yang baik serta prinsip.

“Terpulang (pada parti itu) untuk selari dengan ideologi memerintah… sama ada nak pergi ke Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau, dalam pada itu, tidak bersetuju sekiranya parti baharu terdiri daripada serpihan PAS.

Katanya, adalah lebih baik jika parti tersebut terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat yang mahu mengisi kekosongan PAS.

Jawatankuasa Pusat DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama.

Namun, tambahnya, usul pada muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah menamatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.