Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid enggan mengulas tentang aduan dari Ahli Parlimen pembangkang mengenai polisi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang tidak membenarkan mereka hadir ke sekolah.

Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) menyoal Mahdzir berhubung perkara tersebut ketika beliau hampir selesai menggulung perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini.

"Saya ingin tanya Menteri tentang PPD Manjung.

"Saya tahu banyak yang katakan pendidikan tidak patut dipolitikkan, tetapi saya dapati di kawasan Manjung, pihak guru membawa murid-murid untuk menerima kamus daripada saya sebagai wakil rakyat.

"Namun mereka ditegur tidak boleh datang untuk ambil kamus.

"Begitu juga dengan sekolah-sekolah yang menjemput saya dan Ahli Parlimen Taiping (Nga Kor Ming) untuk balik ke sekolah sebagai murid tua (alumni), pun tidak boleh.

"Bolehkah saya dapat penjelasan, kenapa PPD Manjung begitu ketat dalam isu ini?" soal Ngeh.

Jawab Mahdzir, perkara ini bukan sahaja diamalkan PPD Manjung tetapi semua PPD dalam negara.

"Ini bukan PPD Manjung sahaja, semua PPD pun macam itu," jawab Mahdzir ringkas.

Ngeh kemudian bertanya, adakah ini merupakan satu pengakuan daripada pihak kerajaan mempolitikkan pendidikan?

"Sebelum Yang Berhormat tanya tadi, semua Dewan harmoni sahaja tetapi bila Yang Berhormat bangun sudah jadi tidak harmoni.

"Yang Berhormat Speaker, saya ingat sampai situ sahaja ucapan saya," kata Mahdzir sebelum duduk bagi memberi laluan kepada Kementerian seterusnya untuk memulakan sesi penggulungan.