PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, berada dalam kerajaan turut membawa kekangan dan cabaran kerana DAP perlu memikul tanggungjawab secara bersama terhadap keputusan kerajaan, termasuk dasar yang tidak popular.
“Bila berada dalam kerajaan ada kekangan, kelemahan kita perlu tanggung secara bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular, sebagai parti dalam kerajaan kita perlu menanggung secara bersama.
“Sudah tentu ada pelbagai cabaran dan masalah perlu hadapi, di mana kita mendapat kritikan dan pandangan, malah ada undi protes terhadap kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Beliau berkata, DAP hari ini akan menentukan sama ada mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dalam kerajaan, iaitu kembali sebagai penyokong kerajaan di bangku belakang (backbencher).
Katanya, pilihan itu merupakan keputusan besar yang perlu dibuat secara kolektif oleh perwakilan parti pada
“Pada hari ini kita nak menentukan sama ada hala tuju kita kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh untuk terus kita melaksanakan tugas kita, cuba untuk mempengaruhi dan membawa perubahan, reformasi yang kita janjikan.
“Atau memainkan peranan sebagai ‘pressure group’ dalam kerajaan, iaitu kembali kepada ‘backbencher’ sahaja,” katanya
Menurut Anthony, kepimpinan parti memilih untuk mendemokrasikan proses membuat keputusan dengan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan hala tuju DAP.
Beliau berkata, persidangan tahun ini turut mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya Persidangan Kebangsaan DAP diadakan di PICC, di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Katanya, DAP kini berada dalam kerajaan Persekutuan buat kali kedua, selepas pengalaman pertama selama 22 bulan susulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ini kali kedua kita berada dalam kerajaan lebih lama daripada kali pertama. Ini pun sudah dikira satu pencapaian, kita berada dalam kerajaan hampir tiga tahun.
“Namun begitu, yang paling penting, para perwakilan kena buat keputusan kolektif untuk parti kita berada dalam Kerajaan Persekutuan kali kedua,” katanya.
Anthony turut mengakui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, yang menyaksikan DAP berdepan kekalahan besar, menjadi antara pertimbangan dalam menentukan kedudukan parti.
Menurutnya, keputusan berkenaan memberikan mesej jelas bahawa DAP ditolak pengundi Sabah.
Susulan itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memutuskan supaya persoalan sama ada parti itu perlu terus berada dalam kerajaan Persekutuan diserahkan kepada perwakilan untuk diputuskan.
Selepas ucapan dasar Anthony, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dalam kalangan perwakilan berhubung usul menentukan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan akan membuat keputusan menerusi undi sulit.