KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memberi ruang dan peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mentadbir negara, tanpa tekanan politik.

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, saranan itu berdasarkan nilai-nilai kepimpinan yang diamalkan Perdana Menteri yang juga merupakan Penasihat PAMJ selama lebih 20 tahun.

"Beliau merupakan seorang yang komited, jujur, amanah, mengamalkan nilai-nilai profesionalisme yang tinggi serta memimpin berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

"Beliau turut mempunyai semangat patriotisme dan perpaduan yang tinggi, bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga dengan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama. 

"Diuji dengan cabaran yang hebat berikutan pandemik COVID-19 ketika mengambil alih kepimpinan negara setahun yang lalu, kerajaan di bawah pimpinan beliau terus fokus untuk memelihara keselamatan dan kesihatan, menyelesaikan masalah rakyat dan memulihkan ekonomi melalui pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, hasil kajian yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) secara dalam talian pada 19 hingga 28 Februari 2021 yang melibatkan 8,352 mendapati, sebahagian daripada kalangan rakyat Malaysia mahu Muhyiddin meletak jawatan kerana didakwa telah kehilangan majoriti.

Sementara 29 peratus mahu Parlimen segera dibubarkan bagi memberi peluang untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Dalam pada itu kata Syed Hussien, walaupun berdepan pelbagai dugaan dan tohmahan, Muhyiddin tetap memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongon B40 dan komuniti perniagaan, sentiasa diutamakan.

"Sebagai contoh, sejumlah RM2.024 bilion telah memberi manafaat kepada 575,000 usahawan mikro di bawah Geran Khas Prihatin dan kredit mikro oleh BSN dan Tekun Nasional.

"Subsidi upah yang dilaksanakan pula telah membantu 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja bagi kelangsungan perniagaan dan ekonomi masing-masing.

"Walaupun bantuan ini bersifat sementara, ia telah membantu rakyat dan perniagaan pulih dari keadaan tekanan kewangan yang berterusan," ujarnya.

Jelasnya lagi, rakyat perlu bersatu hati memberikan sokongan dan ruang kepada Muhyiddin untuk memimpin dan mentadbir negara sehingga pandemik COVID-19 dan ekonomi negara dapat diperkukuhkan semula.

Katanya, ia pasti menjadi realiti dalam keadaan keselamatan dan ketenteraman yang terkawal kelak.

Semasa Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada Isnin, Muhyiddin memberitahu akan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen selepas masalah COVID-19 diatasi.

Tegasnya, ia akan membolehkan pilihan raya diadakan sekali gus rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.