UMNO perlu berkorban untuk menjadi Perikatan Nasional (PN) lebih stabil berbanding Pakatan Harapan (PH), kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Jelas beliau, UMNO tidak lagi boleh mendominasi PN seperti mana yang dilakukan dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Wan Saiful berkata dengan langkah itu, PN boleh dibentuk dengan lebIh baik berbanding gabungan parti politik lain.

"Setakat ini ada 12 parti yang telah menyatakan persetujuan membentuk PN. Ada sebilangan kecil tokoh UMNO yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik.

"Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu. Sudah pasti ada pemimpin UMNO yang risau.

"Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, UMNO perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan Facebooknya pada Ahad.

Bagi calon PH yang tewas di Parlimen Pendang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, pemimpin UMNO banyak pengalaman menguruskan perubahan kerana sebahagian besar dari mereka bukan orang baharu dalam politik.

"Berikan mereka masa dan hormati proses dalaman mereka," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful juga berkata Muhyiddin perlu dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri sehingga selepas PRU ke-15.

"Dalam PN perebutan kuasa seperti PH tidak wujud. Muhyiddin disokong oleh semua parti. Muhyiddin baru berumur awal 70-an dan kekal segar setelah berjaya melawan kanser.

"Tambahan pula tidak ada tokoh parti lain yang boleh dinobatkan sebagai Perdana Menteri sekarang.

"Muhyiddin tidak mempunyai kes mahkamah dan tidak ada bagasi negatif, malahan merupakan individu yang bangkit melawan kleptokrasi sebelum ini," katanya.

Wan Saiful juga menegaskan kredibiliti Muhyiddin sama ada dalam usaha melawan rasuah atau mempertahankan institusi Melayu dalam negara memang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa.