Skip to main content

Politik

Bermuhasabah secara jujur, tumpu sepenuh kudrat perkukuh parti - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul PKR, kredit FB Tengku Zafrul
Tengku Zafrul berkata parti itu tidak boleh mengawal tindakan parti lain, sebaliknya perlu menumpukan sepenuh usaha untuk memperkukuh organisasi sendiri. -Gambar Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin kecewa dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini, namun perlu terus beri tumpuan kepada kelemahan sendiri yang masih boleh diperbaiki.

Ahli Biro Politik PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata parti itu tidak boleh mengawal tindakan parti lain, sebaliknya perlu menumpukan sepenuh usaha untuk memperkukuh organisasi sendiri.

“Kita mungkin kecewa dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi kita tidak boleh mengawal parti lain. Yang boleh kita perbaiki ialah parti kita sendiri.

“Jadi, marilah kita tumpukan sepenuh kudrat kita untuk memperkukuh parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata demikian menjelang Kongres Nasional PKR di Melaka yang menurutnya merupakan kongres nasional pertama beliau sejak menjadi anggota parti.

Menurut Tengku Zafrul, keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini menuntut PKR melakukan muhasabah secara jujur, termasuk menilai kelemahan, memantapkan organisasi serta memastikan jentera parti bergerak dengan lebih efektif dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan pusat.

Beliau turut mengakui parti perlu memperbaiki cara berkomunikasi dengan rakyat sekiranya hasil usaha kerajaan masih belum dapat dilihat atau difahami masyarakat.

“Jika rakyat belum melihat hasil yang telah kita usahakan, tanggungjawab itu juga terletak pada kita untuk berkomunikasi dengan lebih jelas dan berkesan,” katanya lagi.

Pada masa sama, Tengku Zafrul mengingatkan anggota parti supaya tidak terlalu cepat menjawab kritikan sehingga mengabaikan keperluan untuk memahami keresahan rakyat.

Katanya, PKR perlu mendengar dengan hati terbuka, mengakui perkara yang masih belum diselesaikan dan seterusnya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berharap kongres kali ini menjadi medan untuk parti bermuhasabah, merapatkan saf dan memperkukuh organisasi dalam usaha memenangi semula kepercayaan rakyat.

Untuk rekod, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada UMNO pada 30 Mei 2025, termasuk sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, selain menyatakan hasrat menyertai PKR.

Pada 8 Ogos tahun sama, beliau mengesahkan permohonan keahliannya diterima Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan didaftarkan sebagai anggota PKR Cabang Ampang.

Pada 25 Januari lalu, MPP PKR bersetuju melantik beliau sebagai anggota Ex-Officio Biro Politik PKR.

Selain Menteri MITI, Tengku Zafrul pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 9 Mac 2020 hingga 9 November 2022 dan kini merupakan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, selepas dilantik ke jawatan itu pada 4 Mac lalu.

Must Watch Video

Advertisement