Skip to main content

Politik

BERSATU dakwa PN menyimpang daripada dasar perjuangan - Muhyiddin

Caption KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhyiddin berkata BERSATU turut melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan unilateral PAS yang disifatkan bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional - Foto fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Pas menyimpang daripada matlamat dan dasar perjuangan gabungan itu, termasuk komitmen mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama, kelas sosial dan wilayah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, kenyataan beberapa pemimpin PAS sejak kebelakangan ini turut menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, terhadap komitmen PN untuk terus mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara.

Beliau berkata BERSATU turut melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan unilateral Pas yang disifatkan bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional.

"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Pas untuk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN serta jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhyiddin turut menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen PN serta tanpa mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Menurut beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 12 Julai lalu terpaksa ditangguhkan selepas Pas mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata BERSATU berpandangan perkara itu sepatutnya dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN kerana melibatkan dasar serta hala tuju gabungan berkenaan.

"Malangnya sehingga kini Majlis Tertinggi PN tidak dipanggil bermesyuarat dan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu bagi memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota," katanya.

Muhyiddin menegaskan, kegagalan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi ketika gabungan itu sedang berdepan PRN Negeri Sembilan amat dikesali dan disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan PN.

Must Watch Video

Advertisement