KLANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan parti itu mempunyai niat jahat untuk 'menghapuskan' UMNO.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebaliknya agenda parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah berkhidmat kepada rakyat dan mengekalkan kesatuan yang sedia terjalin.

"Kita nak pastikan juga agenda Melayu dan Islam dapat diperjuangkan secara berterusan. Saya rasa tiada apa yang jahat dalam hal ini dan biarlah kalau kita bersaing pun dengan mana-mana parti, niat kita adalah senang iaitu semangat kita adalah berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan.

"Tidak mengapalah kita perlu bersaing sikit dengan semua parti yang ada untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi, saya rasa niat jahat itu saya nafikanlah, dan kita memang tidak ada sebarang niat jahat. Fokus kita adalah untuk membawa kebaikan kepada semua," katanya dalam sidang media selepas hadir sesi Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di sini hari ini.

BACA: Hubungan Bersatu dan Pas baik-baik sahaja - Wan Saiful

BACA: PAU2020: Kita akan bertanding solo atas nama BN dalam PRU15 - Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) hari ini yang menyifatkan Bersatu berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO.

Dakwa Ahmad Zahid, semua ahli UMNO sedar bahawa Bersatu tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.

Tegas beliau lagi, UMNO juga tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional (PN).

"Ketetapan ini bukan hanya dari Majlis Kerja Tertinggi tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM.

"Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO. Jauh lebih besar daripada itu, rakyat dan negara sedang dibawa menuju kehancuran," dakwa Ahmad Zahid dalam ucapannya.