Kerajaan Negeri Perak yang baharu perlu dilantik secara formal dan disusun semula susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari Pakatan Harapan (PH), ujar Naib Pengerusi DAP Negeri, Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi menjelaskan, tindakan itu dilihat merupakan jalan penyelesaian terbaik dengan menyerahkan kuasa pelantikan Menteri Besar kepada Sultan.

"Kita ceritakan balik apa berlaku. Apabila Bersatu keluar dari PH, maka ini memberi kesan kepada ahli parlimen dan ADUN, sama ada terkeluar atau sebaliknya, hendak buat macam mana.

"Kalau hendak dipulihkan, kena buat secara formal. Kalau Menteri Besar kena lantik oleh Sultan, tiada siapa ada kuasa soal ini, yang ada kuasa ialah Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri sebab dia (jawatan MB) sudah mati, macam orang yang disahkan mati.

"Apabila kerajaan itu sudah tidak ada, atas sebab-sebab kematian atau tiada hitam putih, maka ia sudah jadi kerajaan sementara yang menjalankan tugas rutin. Maka kerajaan baharu kena dilantik secara formal dan disusun balik, dan kuasa itu di peringkat persekutuan, namun di sini terpulanglah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di sini pada Khamis.

Malah, jelasnya, berdasarkan prinsip, apabila seseorang atau sesebuah parti meninggalkan gabungan parti, maka ia tidak lagi boleh dikira sebagai sebahagian daripada gabungan itu.

"Segala jawatan yang dipegang dan kedudukan diberikan terbatal secara automatik. Tak perlu letak jawatan. Sama juga contoh beberapa hari lalu, apabila Perdana Menteri letak jawatan, maka menteri dengan sendirinya tiada jawatan walaupun menteri itu tidak letak jawatan. Undang-undang sendiri sudah jelas, namun mungkin kalau ada yang tidak faham maka akan kata begitulah," katanya lagi.

Ditanya mengenai desas-desus Adun Umno negeri sedang memohon perkenan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyembah maklum mengenai keadaan politik negeri, beliau menyokong tindakan berkenaan.

"Kalau mereka diperkenankan nak menghadap ke istana, saya kira itu yang baik. Istana memberi ruang yang luas kepada pihak terlibat untuk memberi pandangan dan sebelum istana membuat keputusan.

"Itu menunjukkan bahawa istana akur bahawa situasi di Perak ialah kerajaan sementara dan kerajaan yang sah perlu dilantik berdasarkan senario yang ada," ujar pakar perlembagaan itu.

Justeru katanya, pentadbiran kerajaan negeri yang disifatkan sebagai sementara ketika ini perlu mengambil kira situasi politik yang sedang berlaku di peringkat pusat terutama selepas Bersatu keluar dari PH.

Malah,pentadbiran negeri itu tidak boleh lari daripada kenyataan itu kerana arah politik di pusat mempengaruhi politik di Perak.

"Realitinya kita tidak boleh lari dari pusat oleh kerana parti-parti politik yang ada di Perak ini semuanya adalah federal base. Maknanya kita bukan parti yang hanya di Perak sahaja. Ertinya, apa yang berlaku di Perak harus mengambil kira perkembangan yang ditentukan oleh parti politik berkenaan di peringkat pusat. Jadi soal majoriti atau tidak itu harus dilihat dalam konteks tadi.

"Itulah yang disepakati oleh kebanyakan orang dengan penarikan diri Bersatu daripada Pakatan Harapan yang masih kekal sampai sekarang, itu sebenarnya satu faktor besar dan soal majoriti itu kita tengoklah ada atau tidak. Maknanya yakin atau tidak yakin harus diuji sama ada oleh pihak istana seperti berlaku di ibu negara itu, atau sidang khas Dun. Bukan benda yang boleh diagak atau diandaikan," katanya kepada Astro AWANI semasa ditemui di kediamannya di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari menyatakan masih mendapat sokongan majoriti Adun untuk mengekalkan kedudukannya dan pentadbiran kerajaan negeri.

Untuk rekod, Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan PH sebelum ini membentuk kerajaan negeri melalui 18 kerusi Dun dari DAP, 6 Adun Amanah, 4 Adun PKR, 2 Adun Bersatu dan sokongan satu kerusi bebas.

Manakala, Umno memiliki 25 kerusi Dun, Pas 3 kerusi DUN dan kini membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN).

Setakat ini, pentadbiran kerajaan negeri Perak berjalan seperti biasa dan tiada pengumuman rasmi atau sidang media terbaharu dibuat oleh Ahmad Faizal.