POLITIK
Bersatu: Tun Mahathir boleh kembali jadi Pengerusi tetapi bersyarat

Jabatan Pendaftar Pertubuhan telah mengesahkan Dr Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu. - Gambar fail
Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau masih berpeluang kembali menjawat jawatan itu selepas pemilihan parti dimuktamadkan.
Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, perkara itu susulan pengesahan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Tan Sri Syed Hamid Albar pada 16 Mac lepas bahawa setakat ini hanya bekas Perdana Menteri itu seorang sahaja yang menghantar nama untuk jawatan tersebut.
Bagaimanapun, jawatan itu hanya akan dimuktamadkan selepas proses pemilihan dan persidangan serentak 189 bahagian disambung semula kelak.
“Pengerusi sekarang adalah Pengerusi penggal 2016-2020. Yang beliau (Dr Mahathir) menang tanpa bertanding Pengerusi penggal akan datang.
“Hingga itu, jawatan (pengerusi) itu dipangku oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab Dr Mahathir telah pun meletak jawatan,” jelas ahli MPT itu lagi ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Dr Mahathir bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dan ia adalah selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri, kata seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
ROS dalam surat bertarikh 5 Mei 2020 menjelaskan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 16.9 Perlembagaan Bersatu.
Syed Hamid dipetik sebagai berkata, keputusan itu susulan arahan ROS yang melarang parti atau pertubuhan mengadakan perhimpunan sehingga 30 Jun ini.
“Mungkin penangguhan akan berlanjutan sehingga selepas Jun, namun saya fikir pendaftaran Bersatu tidak akan terbatal,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami