KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata mereka yang terlibat perlu mengosongkan kerusi dan Bersatu bersedia berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Katanya, selaras ketegasan itu, MPT juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.

"Majlis Pimpinan Tinggi juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden.

“Ia bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih credible (dipercayai), tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beberapa langkah bagi menyegarkan Bersatu juga diambil antaranya dengan melantik tiga Ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, ADUN Taman Medan Dr. Afif Bahardin, dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia.

‘’Perubahan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri juga turut dilaksanakan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor yang baharu.

‘’Manakala, Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,’’ ujarnya lagi.

BACA: Isu 6 Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar akan dibincang dalam mesyuarat - Razali

Pada masa sama, beberapa lantikan Pengerusi Biro baharu juga dilunaskan melibatkan Datuk Radzi Jidin (Biro Ekonomi), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa), Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan), selain Fadzillah Mohd Pilus dilantik
sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu.