IPOH: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khabar angin Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee Chuan How bakal bertanding di Parlimen Gerik kerap dibangkitkan sejak beberapa hari lepas.

Gerik merupakan kubu kuat UMNO malah parti itu tidak pernah kalah di kawasan tersebut dan berdasarkan sejarah itu, Howard Lee pastinya berdepan cabaran besar andai bertanding di sana.

Begitupun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu dilihat tenang dan tidak cepat melatah malah menegaskan ia bukanlah kali pertama DAP bertanding di kerusi yang dikatakan bahaya untuk mereka.

Jelasnya, kerusi Parlimen Taiping dan Teluk Intan pernah dilabel sebagai kerusi bahaya untuk parti itu namun dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP memenangi kerusi tersebut.

"Kita bukan kata berani tapi ini adalah lumrah perjuangan. Kena pergi ke tempat bahaya tapi tak pergi, macam mana kita nak berkembang.

"Jadi Gerik, bila diberi kerusi itu diberi kepada DAP, saya sebagai ahli memang bangga. Saya sebagai pemimpin di peringkat negeri dan kebangsaan berasa sangat gembira kerana kita akhirnya diberi tambahan kerusi di Parlimen.

"Sejak 2008, 2013 dan 2018 (minta tambah kerusi). Tahun 2013 dan 2018, kita tanding tujuh kerusi Parlimen, kita menang tujuh. Kita tanding 18 DUN, kita menang 18 kerusi.

"Mujurlah kali ini kita dapat kerusi tambahan. Tak cukup tapi mujurlah ada satu," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Tambahnya, walaupun khabar angin kuat mengaitkan beliau bertanding di Gerik namun setakat ini beliau belum menerima arahan daripada parti.

"Tak kira parti letak saya di Gerik ke, Kuala Sepetang ke atau kekal di Pasir Pinji, saya akur dan ikut perintah parti.

"Saya ahli parti yang akan taat setia sentiasa," ujarnya.

Kerusi Parlimen Gerik juga diramal menjadi kerusi panas susulan khabar angin Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki dikhabarkan bakal berentap dengan Howard Lee di kerusi tersebut.

Dalam PRU14, kerusi itu dimenangi Allahyarham Datuk Hasbullah Osman memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan undian majoriti sebanyak 5,528.