JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor melihat tiada keperluan mewujudkan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Antilompat Parti.

Ini kerana enakmen itu sudah diwartakan dan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji enakmen berkenaan adalah suatu pembaziran masa dan kewangan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, di peringkat parti termasuk blok pembangkang juga telah mengadakan perbincangan bagi memahami isi kandungan enakmen.

Katanya, pembentangan enakmen di peringkat Parlimen melalui proses yang menyeluruh dan komprehensif.

Malah di peringkat awal penggubalannya telah melibatkan semua pihak termasuk peringkat negeri, melihat dari sudut perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri.

"Usul kita tolak kerana tiada keperluan dibentuk jawatankuasa khas untuk bincangkan akta yang telah diluluskan di peringkat persekutuan, lebih lagi akta yang dapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sewaktu dibentangkan.

"Penjelasan perlu kerana saya bimbang bila kita ada satu majlis MBM, saya takut rakyat nanti dikelirukan seolah-olah kerajaan negeri tolak untuk guna pakai Akta Antilompat Parti ini.

"Kebimbangan itu saya rasa perlu BN jelaskan kenapa kita tolak pembentukan jawatankuasa itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara majoriti menolak cadangan pembangkang supaya rundingan dibuat bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Antilompat Parti.

Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi, memaklumkan seramai 37 ADUN tidak bersetuju terhadap cadangan itu, manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.

Usul itu dibawa oleh Marina Ibrahim (PH-Skudai).