Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka menarik semula kerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil selepas kesemua ADUN gabungan Perikatan Nasional kecewa dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua wakil rakyat Bersatu itu.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua 13 ADUN dari BN serta masing-masing seorang ADUN dari PKR dan DAP sepakat untuk menarik semula keputusan kerjasama dengan Mohd Rafiq yang juga ADUN Paya Rumput serta Noor Effandi (ADUN Telok Mas).

"Dengan ini saya mengesahkan 13 ADUN BN bersama Datuk Jailani (ADUN Rembia) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (ADUN Pengkalan Batu) akan membentuk satu gabungan baharu disokong dengan Akuan Bersumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob serta-merta," kata Ab Rauf dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Kekecewaan itu juga, kata Ab Rauf, tambah berganda apabila Mohd Rafiq dan Noor Effandi tidak menghormati kesemua ADUN Perikatan Nasional serta tidak menghadiri sebarang perbincangan meja bulat.

"BN melalui saya telah menjemput Yang Berhormat Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad untuk membincangkan kerjasama dan hala tuju lanjut tentang hala tuju berasaskan gabungan yang telah dibentuk.

"Malangnya, BN Melaka telah gagal bertemu dengan ADUN-ADUN tersebut sehingga notis Pengurniaan Istiadat Cara Pelantikan dan Simpan Rahsia Angkat Sumpah dan Taat Setia Ketua Menteri ke-12 yang akan diadakan pada esok (Jumaat) telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyebabkan BN Melaka telah hilang kepercayaan menjalankan kerjasama ini," tegas Ab Rauf lagi.

Sehingga kini, Perikatan Nasional mempunyai 15 ADUN manakala Pakatan Harapan 11 dan dua lagi ADUN Bersatu.

Pada 2 Mac lalu, Perikatan Nasional mengumumkan mendapat 17 sokongan ADUN daripada BN, Bersatu, PKR dan DAP sekali gus membolehkan kerajaan negeri baharu dibentuk.

Bagaimanapun, persoalan siapa Ketua Menteri Melaka yang baharu terus panas apabila ADUN daripada Bersatu turut dilaporkan menghantar surat berhubung calon Ketua Menteri Melaka kepada Mohd Khalil.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN telah mempersembahkan nama calon daripada 15 ADUN di bawah Perikatan Nasional kepada Yang di-Pertua Negeri.