Skip to main content

Politik

BN Pahang optimis kekal terajui negeri pada PRU16 - Wan Rosdy

SHAH ALAM, 23 April -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Program Barakah Haji Pahang (Perantau) Tahun 1447 H/2026 M di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini._BERNAMA
Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar berkata dasar kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban, antara yang perlu dinilai rakyat sebelum membuat pilihan. - Gambar fail/BERNAMA

ROMPIN: Barisan Nasional (BN) Pahang optimis dapat mengekalkan penguasaan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bersandarkan kepada rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar berkata dasar kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban, antara yang perlu dinilai rakyat sebelum membuat pilihan.

Advertisement

“Realitinya, rakyat akan buat penilaian berdasarkan prestasi kerajaan negeri… sebagai contoh apabila harga barang naik akibat krisis bekalan global, kerajaan negeri tampil ke hadapan memberi bantuan barang dalam bentuk makanan kepada mereka yang terjejas,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyasarkan PN menguasai 26 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 10 kerusi Parlimen, sekali gus membentuk kerajaan selepas PRU16. 

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata BN Pahang tidak gentar dengan sasaran itu, sebaliknya akan berusaha keras untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi DUN, sekali gus membentuk kembali kerajaan negeri.

Terdahulu, Wan Rosdy merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Pinggiran Pelangi dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah Daerah Rompin di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 102 daripada 112 penerima hadir bagi menerima kunci rumah projek fasa satu PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi.

Projek itu dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas 24.28 hektar (60 ekar) dan telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 19 Mac lepas.

Secara keseluruhan, projek itu melibatkan sebanyak 412 unit rumah dengan nilai RM61.8 juta dan dilaksanakan secara empat fasa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video