Beberapa calon Barisan Nasional (BN Perak yang diumumkan kelmarin mempunyai potensi menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Penganalisis politik, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, daripada pemerhatian yang dilakukan, dua atau tiga calon dirasakan memiliki ketokohan untuk menjadi ketua negeri.

Tanpa menamakan calon itu, beliau berkata, individu tersebut mungkin tidak mempunyai kualiti sama seperti Zambry.

Katanya, strategi BN meletakkan Zambry di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan beliau terus kekal menerajui Perak.

“Sejarah sebelum ini berlaku apabila bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang kalah pada PRU13 selepas gagal mendapatkan kerusi Parlimen Gelang Patah daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Kegagalan ini sekali gus memusnahkan harapan beliau untuk menjadi menteri besar semula kerana tidak bertanding di peringkat DUN,” katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

BACA: 'Menteri Besar masih sama jika BN menang PRU14' - Zambry

Shamsul Amri berkata demikian sebagai mengulas mengenai pencalonan Zambry di kerusi Parlimen dan DUN oleh BN.

Menurutnya, jika kemenangan itu berpihak kepada beliau, secara tidak langsung jawatan menteri besar masih dalam genggamannya, dan pada masa sama berpeluang dilantik menjadi menteri di Kabinet.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan di Perak adalah strategi pertahanan bagi memastikan orang yang baik dan berkualiti akan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, Perak mempunyai banyak kerusi dan calon berkualiti yang sudah tentu Zambry mempunyai kuasa untuk mencadangkan salah seseorang sebagai pengganti.

“Pada pandangan saya, sekiranya Zambry disenaraikan dalam Kabinet, portfolio yang sesuai dengan beliau adalah Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Beliau bukan sahaja berpengalaman menjadi tenaga pengajar di universiti malah saya yakin warga pendidik pasti mengalu-alukan kehadiran beliau,” katanya.