BN Sabah perkenal AI Chatbot perkenal calon, tapis berita palsu

Ahmad Zahid, bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, meneliti dokumen sebelum memulakan mesyuarat komponen Barisan Nasional hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini memperkenalkan AI Chatbot BN Sabah, satu inisiatif teknologi baharu bagi memperkenalkan calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ringkasan AI
- BN Sabah memperkenalkan AI Chatbot BN Sabah sebagai inisiatif teknologi baharu bagi memperkenalkan calon-calon BN pada PRN Sabah ke-17.
- Langkah strategik BN untuk mendekati pengundi muda dan memodenkan cara komunikasi parti dalam era digital.
- AI Chatbot BN Sabah berperanan sebagai platform interaktif yang membolehkan pengundi mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat serta menyalurkan maklumat sahih dan rasmi mengenai aktiviti kempen dan dasar BN di Sabah.
"Ini membuktikan bahawa BN bukan sekadar parti bersejarah, tetapi parti yang terus bergerak seiring kemajuan teknologi dan aspirasi rakyat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan BN Sabah di sini.
Menurut kenyataan itu, Al Chatbot BN Sabah berfungsi sebagai platform interaktif yang membolehkan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi baharu mengenali calon-calon BN dengan lebih dekat, memahami latar belakang mereka serta mengikuti aktiviti kempen dan dasar perjuangan BN di seluruh Sabah.
"Selain memperkenalkan calon, inisiatif ini juga menjadi usaha BN Sabah dalam menangani penularan berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial, menjelang pilihan raya.
"Chatbot ini akan menyalurkan maklumat sahih dan rasmi secara terus kepada rakyat, sekali gus memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan berfakta," menurut kenyataan itu.
Platform AI Chatbot ini boleh diakses melalui dua saluran utama iaitu www.prnsabah.com dan BNComm Sabah dan akan beroperasi sepenuhnya bermula 12 Nov, bertepatan dengan fasa kempen utama menjelang PRN Sabah ke-17.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO Sabah di sini, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Esok, Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis pengumuman calon BN pada PRN Sabah ke-17 oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebelum beliau melancarkan Jentera BN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


