KUALA LUMPUR: Walaupun mensasarkan kemenangan secara solo, Barisan Nasional (BN) tidak menolak segala kemungkinan yang boleh berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia termasuk menjadi blok kecil dalam kerajaan gabungan yang mungkin terbentuk nanti.

Jelasnya, jika itu berlaku, maka UMNO-BN akur bahawa mereka tidak mempunyai kuasa yang besar untuk menuntut jawatan-jawatan utama dalam kerajaan, terutama sekali kerusi Perdana Menteri.

“Kalau kita bukan blok yang terbesar, ia bererti parti lain yang menjadi blok terbesar dan parti itu memperoleh majoriti.

“Kalau dalam senario di mana UMNO mesti ada untuk sesebuah gabungan itu memperoleh 112 kerusi di Parlimen tapi kita bukan blok paling besar, sudah tentu kita pun tak boleh nak “demand.”

Selain menjadi blok kecil dalam kerajaan gabungan itu, Shahril juga tidak menolak kemungkinan senario di mana UMNO-BN menjadi pembangkang.

Ia boleh berlaku sekiranya parti-parti lain memenangi lebih banyak kerusi dan bersama membentuk kerajaan tanpa UMNO-BN.

“Kalau BN menang 30 kerusi sahaja dan melihat kepada parti-parti lain yang betul-betul nak bekerjasama untuk mengalahkan BN, maknanya mereka menang lah dan BN tak ada dalam perbincangan (membentuk kerajaan) itu.

“Sebab itu kita nak pilihan A (iaitu menang besar),” katanya dalam program Dialog Bipartisan pada Rabu.

BN sedia berdepan segala kemungkinan senario pasca PRU15 - Shahril Hamdan