IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad tiba di Istana Kinta, dekat sini, pada pukul 2.08 petang, untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sembah menghadap itu bagi memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu tiba dengan menaiki kereta Volvo berwarna hitam dan sempat melambai kepada para petugas media yang berada di hadapan pintu masuk istana seawal jam 1 tengah hari.

Semalam, media melaporkan Saarani akan menghadap Sultan Nazrin pada Rabu untuk memohon perkenan pembubaran DUN.

Pada Isnin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan pembubaran DUN membolehkan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

Kerajaan Perak sekarang diterajui UMNO dengan 25 kerusi, Bersatu (empat), Pas (tiga) dan Bebas (tiga).

Sementara blok pembangkang pula terdiri daripada DAP yang memiliki 16 kerusi, Amanah (lima) dan PKR (tiga).

Saarani dilantik sebagai Menteri Besar selepas kemelut politik pada Disember 2020, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.