Tindakan UMNO Johor yang menghantar surat meminta perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah sesuatu yang tidak masuk akal, kata Datuk Osman Sapian.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor di Istana Pasir Pelangir, ADUN Kempas itu berkata, tindakan UMNO Johor itu tidak lebih daripada sekadar gimik politik.

“Saya tidak tahu bila dia (UMNO Johor) mengadap sebenarnya. Yang saya baca di akhbar, perkara itu mungkin berlaku.

“Tapi pada saya, perkara itu (pembubaran DUN) secara teknikal dan secara logiknya adalah tidak perlu. Ia hanya sekadar gimik politik. Carilah alasan yang boleh masuk akal,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Pada Jumaat, sejurus kepulangan Sultan Ibrahim dari luar negara, Astro AWANI difahamkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Ir Hasni Mohamad telah pergi ke Istana Pasir Pelangi bagi mengadap Tuanku dan menyampaikan sepucuk surat meminta perkenan Baginda untuk pembubaran DUN.

Sumber Istana memberitahu, ADUN Semerang Datuk Samsolbari Jamali, serta bekas Ahli Parlimen Pulai merangkap Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menyertai Hasni.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai calon baharu bagi jawatan Menteri Besar Johor, Osman berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: Sultan Johor titah MB baharu perlu tukar barisan Exco - Osman

Osman, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu Johor turut menegaskan bahawa Menteri Besar yang baharu haruslah datang daripada Bersatu sebagaimana yang dipersetujui secara konvensyen sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim, serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri atas kerjasama penuh yang diberikan keapdanya sepanjang 11 bulan beliau menjadi Menteri Besar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada parti dan juga semua rakyat Johor khususnya, serta barisan Ahli Majlis Negeri yang telah memberikan kerjasama baik kepada saya semasa saya berkhidmat sebagai MB Johor.

“Ada baki empat tahun lagi (sebagai ADUN Kempas), Insha Allah saya akan terus berkhidmat dan selepas ini saya akan tumpu sepenuhnya perkhidmatan saya kepada pengundi dan rakyat Kempas, di samping menumpukan kerja saya kepada parti,” tambahnya.