Sempena hari pertama Ramadan, calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkesempatan berkempen di Bazar Ramadan Sandakan di sini petang Isnin.

Beliau yang turut ditemani para penyokongnya, beramah mesra dengan para peniaga selain mengedarkan poster kempen.

Vivian akui, antara masalah yang dihadapi oleh para usahawa industri kecil dan sederhana (IKS) di Sandakan adalah melibatkan pembungkusan memasarkan produk mereka.

“Apabila saya pergi ke setiap gerai, saya tanya mereka bagaimana mereka mempunyai kemahiran ini, macam mana nak pertingkat kemahiran. Bagi saya, saya akan membantu mereka untuk memasarkan perniagaan mereka kerana mereka tahu untuk memasak.

“Tapi kita kena bantu pasarkan dan menjualnya. Jadi saya ingin menjadi saluran untuk membantu mereka untuk memperkenalkan makanan mereka ke pasaran yang lebih luas bermula di Sandakan,” katanya ketika ditemui media pada sesi turun padang (walkabout) tersebut.

Sementara itu, Vivian akui, walaupun bazar tersebut sedikit sebanyak menyebabkan kesesakan di tengah pusat bandar Sandakan, namun ia bukanlah satu permasalahan besar dalam kalangan penduduk yang berbilang agama, bangsa dan suku kaum.

“Saya tahu ia akan menjejaskan sikit. Tapi di Sandakan, kita adalah satu komuniti yang sangat ramah mesra. Saya tidak fikir kalau kaum Cina akan marah disebabkan orang Islam membuka bazar di sini.

“Buat masa ini saya tidak fikir tentang lokasi lain jika ia perlu dipindahkan sebab tempat ini sangat strategik, sangat berangin,” katanya.

Mengulas lanjut, Vivian berkata dia menyerahkan keputusan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk membuat sebarang ketetapan berhubung bazar yang terletak di Jalan Coastal 1 ditengah pusat bandar ini.