KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar segera didaftar sebagai gabungan politik yang rasmi dalam usaha memperkasa ahli parti komponen dan hala tuju gabungan itu, kata Pengerusi Kelab Backbenchers GRS Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan itu berkata usaha mengukuhkan GRS amat penting bagi menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah terutama dalam membangunkan ekonomi negeri, mencipta peluang pekerjaan dan mempersiap generasi muda sebagai pemimpin masa depan.

Beliau berkata usaha itu juga penting bagi mengelakkan pertembungan antara ahli GRS seperti yang dihadapi oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

"Situasi politik Sabah berbeza dari Semenanjung dan kita tidak boleh lalai dalam perkara ini.

"Pemimpin GRS perlu duduk semeja dan berbincang tindakan untuk memperkasa GRS. Usaha mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi harus menjadi agenda utama," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

GRS adalah gabungan parti dalam PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Pas), BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) serta Parti Bersatu Sabah.

Salleh, yang mencadangkan agar GRS mempertimbang membuka keahlian secara langsung kepada parti lain sebagai ahli gabungan selain individu yang ingin menjadi ahli biasa, mengakui bahawa beliau sudah menyampaikan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi GRS.

"Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat tetapi demi masa depan Sabah, saya percaya ia penting untuk membincangkan perkara ini sekarang secara terbuka, membina dan bertimbang rasa," katanya sambil menegaskan bahawa GRS perlu mengetepikan politik polemik serta mengkekalkan tumpuan untuk terus bekerja demi masa depan negeri itu.

Pas Sabah pula berpendapat pendaftaran GRS sebagai gabungan politik rasmi merupakan langkah terbaik untuk menjamin keharmonian dan kesederhanaan dalam politik Sabah bagi jangka panjang.

Setiausaha Pas Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata langkah itu juga sesuai dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRN Sabah tahun lepas.

"Kemenangan dalam pilihan raya lepas merupakan satu mandat yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan dan persefahaman pelbagai parti politik.

"Persefahaman ini mesti dikekalkan dan sehingga kini, kerajaan GRS telah terbukti mesra rakyat khususnya dalam menghadapi masa sukar ketika pandemik COVID-19," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA