Skip to main content

Politik

Dakwaan campur tangan AS perlu diteliti, bukan dipolemikkan - Penganalisis

MOHD RIZAL HAMDAN/Pegawai kanan program Merdeka Centre
MOHD RIZAL: Kenyataan Abdul Hadi membuka semula persoalan lebih luas mengenai sejauh mana pihak asing dibenarkan berinteraksi dengan aktor politik domestik. Persoalannya, di manakah garis pemisah antara hubungan diplomatik dengan campur tangan politik? -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar meneliti dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan UMNO.

Pegawai Kanan Program Merdeka Center, Mohd Rizal Hamdan, berkata penelitian itu perlu dibuat berdasarkan bukti dan tidak dijadikan polemik politik.

“Ini bukan bermaksud Abdul Hadi perlu dianggap bersalah atau dakwaannya ditolak secara automatik, tetapi beliau merupakan sumber utama dakwaan tersebut.

“Kerajaan juga perlu berhati-hati supaya penelitian itu tidak dilihat sebagai tindakan politik terhadap Pas.

“Fokus utama mestilah untuk menentukan sama ada benar berlaku cubaan campur tangan asing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tambahnya, agensi berkaitan boleh menyemak rekod diplomatik atau maklumat bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai pertemuan tersebut.

Ia termasuk Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi keselamatan lain.

Menurut Mohd Rizal, pertemuan diplomat asing dengan pemimpin kerajaan atau pembangkang merupakan amalan biasa. Katanya, pertemuan seumpama itu membolehkan diplomat memahami perkembangan politik sesebuah negara.

Namun, ia perlu dibezakan daripada campur tangan secara langsung untuk mempengaruhi, membiayai atau mengatur pertukaran kerajaan.

“Jika terdapat usaha untuk mempengaruhi atau mengatur perubahan kerajaan, perkara itu jauh lebih serius.

“Ia bukan sekadar persaingan antara parti politik, tetapi melibatkan kedaulatan dan integriti sistem demokrasi negara,” katanya.

Mohd Rizal berkata, meskipun perkara itu didakwa berlaku lebih sedekad lalu, ia tidak sepatutnya diabaikan kerana baru didedahkan secara terbuka.

Menurutnya, isu tersebut juga membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh ketelusan dalam hubungan antara pihak asing dengan aktor politik tempatan.

“Kenyataan Abdul Hadi membuka semula persoalan lebih luas mengenai sejauh mana pihak asing dibenarkan berinteraksi dengan aktor politik domestik.

“Persoalannya, di manakah garis pemisah antara hubungan diplomatik dengan campur tangan politik?” katanya.

Tegasnya, perkara lebih penting adalah untuk menentukan sama ada dakwaan itu mempunyai implikasi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sebarang hubungan dengan pihak asing yang berpotensi mempengaruhi proses politik negara perlu tertakluk kepada tahap ketelusan dan pengawasan sewajarnya.

“Tidak kira sama ada melibatkan kerajaan atau pembangkang, kepentingan negara mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap kegiatan politik,” tegasnya lagi.

Pada Sabtu, Abdul Hadi mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas untuk menjatuhkan UMNO dan mengambil alih kerajaan.

Tawaran itu didakwa dibuat ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada 2014.

Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin Pas dipelawa menghadiri pertemuan di Kedutaan AS sebelum duta negara itu meminta untuk bertemu dengannya.

Bagaimanapun, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H. Gamble Jr menafikan dakwaan tersebut.

Beliau menegaskan AS tidak pernah berusaha menentukan pihak yang memimpin Malaysia dan menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.

Must Watch Video

Advertisement