KUALA LUMPUR: DAP akan terus menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Selangor 2021 di Pusat Kenvensyen Shah Alam (SACC), Selangor pagi tadi.

"Sungguhpun kita sokong penggunaan logo DAP, tapi kita telah buat keputusan untuk pakai logo Pakatan Harapan. Kita telah mulakan di Melaka, dan kita akan guna di seluruh Semenanjung Malaysia untuk PRU ke-15," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau keputusan itu tidak termasuk bagi Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua negeri tersebut akan membuat keputusan mereka sendiri disebabkan kuasa autonomi yang dimiliki.

"Ia berikutan mereka ada autonomi. Mereka akan putuskan logo apa... sama ada parti DAP roket atau logo bersama," jelasnya.