KEPUTUSAN empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka telah mencetuskan krisis politik yang tidak diingini di Melaka.

Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan, tetapi krisis politik ini masih belum berakhir.

Jika pilihan raya negeri dilaksanakan, ia berkemungkinan besar mengganggu proses pemulihan negara daripada COVID-19.

Pada masa yang sama, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan akan mengisytiharkan darurat di Melaka untuk menangguhkan pilihan raya negeri.

Keempat-empat ADUN tersebut menarik diri kerana terdapat konflik dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dua daripada mereka sebelum ini adalah daripada Pakatan Harapan (PH), namun mereka telah mengkhianati kita semasa Langkah Sheraton pada tahun 2020, lalu menyebabkan kerajaan PH di Melaka tumbang.

Saya ingin menyatakan bahawa saya sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tindakan melompat parti oleh mana-mana wakil rakyat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, demi kepentingan politik sendiri.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Melaka bergolak: Perlukah darurat diisytihar?

BACA: Krisis Melaka: Tidak wajar PRN, Sulaiman tiada kedudukan nasihat bubar DUN - DAP

Tindakan melompat parti tidak harus diterima oleh mana-mana pihak.

Pengalaman sepanjang dua tahun yang lepas telah jelas menunjukkan bahawa permainan politik yang tidak beretika dan melompat parti hanya akan membawa kepada ketidakstabilan politik dan masalah kepada negara.

Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada “Langkah Sheraton” dan “Langkah Sabah”.

Sekarang, kita boleh menambah “Langkah Melaka” kepada senarai tersebut.

Sepanjang minggu yang lepas, beberapa siri perbincangan telah diadakan di pelbagai peringkat mengenai “Langkah Melaka”.


Politik Melaka | Perkembangan terkini politik di Melaka

Saya telah menyatakan kepada rakan seperjuangan dan pemimpin parti saya bahawa kami tidak harus bersekongkol dengan empat ADUN tersebut, atau lebih teruk lagi, menyokong salah seorang daripada mereka untuk menjadi calon Ketua Menteri.

Tindakan melompat parti menyebabkan orang ramai hilang percaya terhadap sistem politik negara.

Tindakan sedemikian menyampaikan mesej yang salah kepada jutaan pengundi muda yang akan mengundi untuk kali pertama dalam pilihan raya yang akan datang.

Saya percaya bahawa ramai rakyat Malaysia yang sudah penat dan muak dengan permainan politik sedemikian.

Kita seharusnya menggalakkan politik yang bersifat membina untuk membina kekuatan dan mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik negara.

Kejadian ini juga menunjukkan bahawa suatu akta anti-lompat parti perlu diperkenalkan dengan segera.

Jika tidak, pilihan raya yang bakal berlangsung hanya akan membawa kepada lebih banyak lompatan parti.

Akta anti-lompat parti ini harus diluluskan di sidang Parlimen yang akan datang, sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Kepada rakyat Melaka – saya berharap kita tidak akan putus asa terhadap negeri dan negara kita. Politik bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi kita perlu terus bersuara dan berjuang demi perubahan.

Khoo Poay Tiong
Ahli Parlimen Kota Melaka


[TERKINI] Sidang Media ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan