Skip to main content

Politik

DAP konsisten bawa reformasi dalam Kerajaan Perpaduan - Gobind

Gobind Singh Deo
Gobind ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong pada malam Sabtu. - Gambar Facebook Gobind

PUCHONG: DAP akan terus konsisten memperjuangkan agenda reformasi dan pembaharuan meskipun mengakui pelaksanaannya memakan masa kerana memerlukan persefahaman serta kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, sebagai sebahagian daripada pentadbiran hari ini, parti itu tetap berpegang teguh kepada janji untuk membawa perubahan besar kepada negara.

Advertisement

"Apabila kita sebut berkenaan dengan reformasi, kita perlu ingat bahawa ia mengambil masa. Ini penting kerana kita sekarang dalam satu kerajaan yang terdiri daripada pihak berlainan.

"Kita perlu mendapat persetujuan sebelum kita dapat bergerak ke hadapan dan ini adalah satu perkara yang saya minta persefahaman daripada semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong, di sini, pada malam Sabtu yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Gobind berkata, DAP tidak pernah berganjak daripada prinsip asalnya dalam melakukan pembaharuan, termasuk melibatkan akta yang dianggap kontroversi.

Mengambil contoh isu pemansuhan Akta Hasutan 1948, beliau berkata, DAP adalah parti yang berterusan meminta undang-undang itu dipinda dan pendirian berkenaan kekal hingga sekarang.

"Tetapi oleh kerana tidak dapat persetujuan yang tertentu, maka kita tidak dapat laksanakan (pemansuhan) buat masa ini. Apa yang penting adalah untuk semua faham bahawa kita dalam proses mengambil tindakan supaya dapat membawa pembaharuan ini," katanya.

Beliau berkata, komitmen DAP untuk bergerak ke hadapan bukan sahaja tertumpu kepada penambahbaikan ekosistem perundangan, malah merangkumi usaha memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kerajaan Perpaduan memerlukan sokongan  yang berterusan daripada rakyat dalam melakukan reformasi yang ditekankan oleh DAP dan meminta agar rakyat memahaminya.

"Kita kena ada kesabaran dengan reformasi, kesabaran dengan penyampaian, dan kesabaran dengan kepercayaan,” katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan, Kerajaan MADANI perlu memastikan kestabilan politik terus terjamin, sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran semasa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video