KUALA LUMPUR:Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa semua pihak melakukan gencatan politik buat sementara waktu.

Penasihat parti DAP itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid membayangkan seolah-olah UMNO akan kehilangan rakan dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas, jika terus menekan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin bukan satu kebetulan yang kenyataan Ahmad Zahid ini dikeluarkan hampir pada masa yang sama dengan mengumumkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Pejabat Pendakwa Raya mengenai kes pelanggaran SOP kuarantin COVID-19 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, (Datuk Dr) Khairudin Aman Razali.

“Mungkin pimpinan UMNO mendapati mereka tidak akan mendapat sokongan daripada Pas dalam Game of Thrones ini, dan jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan Pas mahupun blok Parlimen UMNO untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Ahmad Zahid dan (Datuk Seri) Najib Razak secara membuta tuli,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Zahid pada Rabu menegaskan, Umno memutuskan untuk melakukan gencatan senjata bagi memberi keutamaan kepada agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang terhimpit.

Selain kembali mendukung kembali kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahmad Zahid berkata, kerjasama semua parti dalam PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik.

BACA: UMNO umum gencatan politik, sokong penuh Perikatan Nasional - Zahid Hamidi

Beberapa pemerhati berpendapat, ia memberi petunjuk bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memastikan Rang Undang-undang Pembekalan 2021 dapat diluluskan, memandangkan perbezaan jumlah kerusi antara kerajaan sangat tipis.

RUU yang dikenali sebagai Belanjawan 2021 itu, akan dibentangkan pada 6 November ini, antara lain mengandungi langkah-langkah mengawal penularan COVID-19 yang agak meruncing, di samping memastikan kemampanan ekonomi negara ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini mengesahkan pandangan beliau bahawa Malaysia berada dalam ketidaktentuan politik, dengan plot, subplot dan tindak balas yang muncul mengenai bentuk dan rupa kerajaan Malaysia.