KUCHING: DAP Sarawak akan mengadakan satu pertemuan di Sibu bagi berbincang kebarangkalian untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pertemuan pada Selasa depan itu berdasarkan autonomi penuh parti berkenaan untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik di negeri ini.

Tegasnya, keputuan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu sangat jelas menuntut kepada penyatuan parti pembangkang yang utama untuk bekerjasama mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Tidak dinafikan, sentimen kedaerahan begitu kuat pada PRN Sarawak 2021, bagaimanapun keutusan PRN itu juga membuktikan bahawa perjuangan semata-mata atas politik kedaerahan tidak membawa parti itu kemana-mana.

“PRN Sarawak lalu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) bertanding 70 kerusi tapi menang empat kerusi, manakala DAP bertanding 26 kerusi dan menang dua kerusi.

"Sedangkan, calon-calon parti pembangkang tempatan yang lain kalah dengan kebanyakan mereka hilang wang deposit pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Padungan itu, meskipun GPS mencatatkan kemenangan besar, parti kerajaan negeri itu terus bekerjasama dengan parti-parti di peringkat nasional supaya memiliki pengaruh dan jejak di dalam kerajaan persekutuan.

“Demikian dalam menyusuan strategi PRU, sementara kita menangani sentimen kedaerahan dan isu parti tempatan, kepentingan parti nasional yang berlandaskan nasional tidak boleh diabaikan.

“Dengan semua jawatankuasa DAP Sarawak adalah rakyat Sarawak dan mempunyai autonomi kepada perkara yang berlaku di negeri ini, sebagai salah satu parti tempatan dan disokong oleh platform parti nasional yang kukuh, maka kita boleh mengubah dan membentuk polisi nasional untuk masa depan negara,” katanya.

Daripada 82 wakil rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hanya enam kawasan dipimpin oleh ADUN daripada parti pembangkang masing-masing empat daripada PSB dan dua DAP.

PSB yang baru dibentuk pada penghujung tahun 2018 itu dipengerusikan oleh ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga bekas Menteri Kewangan II Sarawak.