Skip to main content

Politik

DAP ulangi komitmen junjung institusi diraja, pertahan hak ADUN suarakan pandangan

PUCHONG, 25 April --Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir ke Majlis Jamuan Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong, malam ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony Loke bergambar kenangan dengan pengunjung pada Majlis Jamuan Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: DAP sekali lagi menegaskan bahawa ia kekal berpegang kepada prinsip menyanjung tinggi dan menjunjung kasih institusi diraja serta tidak pernah berkompromi dalam perkara itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian itu sentiasa menjadi pegangan parti dalam memastikan keharmonian antara institusi diraja dan sistem pentadbiran negara terpelihara.

Advertisement

Namun, dalam masa sama, beliau berkata, parti itu memberikan ruang kepada wakil rakyatnya untuk menyuarakan pandangan kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dia (mereka) perlu ada ruang untuk menyampaikan pandangan dengan hormat, dengan cara yang baik. Itu adalah tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat. 

“Sebab itu, saya ingin menegaskan kepimpinan DAP akan mempertahankan hak ADUN kita untuk menyampaikan pandangan dengan kritis dan bernas di Dewan Undangan Negeri, walaupun tahu akan berdepan dengan pelbagai tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kritikan ke atas ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki baru-baru ini, berikutan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan penternakan khinzir.

Wong semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaporkan memohon pertimbangan kerajaan negeri memberikan ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Loke berkata, cadangan itu telah digunakan oleh pihak pembangkang untuk menyerang parti itu demi kepentingan politik masing-masing.

“Ini sudah tentu diambil peluang oleh pihak Perikatan Nasional, pihak pembangkang, nak jadikan ini sebagai satu isu dan kononnya mendakwa DAP tidak menghormati institusi diraja, tidak menghormati Sultan. 

“Saya nak menegaskan, DAP selama ini akan tetap menghormati institusi diraja dan, menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya.

Loke ditemui pada Majlis Jamuan Makan Malam Amal DAP Kinrara di Pusat Bandar Puchong malam tadi, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video