SHAH ALAM: Tan Sri Noh Omar menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Noh yang bercakap tidak mewakili mana-mana parti politik memberitahu, tindakan Zulkafperi itu tidak ubah seperti 'datang tak menambah, pergi tidak mengurang'.

Dakwa beliau, rata-rata rakyat di Tanjong Karang sering mengeluh kerana sukar bertemu dengan Zulkafperi selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Dalam grup WhatsApp ada yang menyatakan Ahli Parlimen Tanjong Karang jarang turun padang dan pejabatnya pula tidak beroperasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Zulkafperi pada Rabu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar menjadikannya wakil rakyat pembangkang keenam bertindak demikian.

Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan tersebut dibuat sepenuh hati demi kepentingan penduduk Tanjong Karang tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal berkata, tindakan itu memberi gambaran jelas bahawa Zulkafperi bukan anak jati Tanjong Karang yang sepatutnya menabur bakti kepada Parlimen berkenaan.

"Zulkafperi datang dari bandar dan beliau tidak faham permasalahan rakyat di sini," jelas beliau.

Noh menambah, Zulkafperi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Bahagian Tanjong Karang tidak mampu berperanan dengan baik bagi memperkukuh dan mengambil hati rakyat di bahagian berkenaan.

"Saya tidak nampak apa peranan beliau kerana tiada aktiviti dan gerak kerja dijalankan, malah semasa penamaan calon PRN (Pilihan Raya Negeri) DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Burong dan Permatang pun beliau tidak hadir," jelas Noh.

Sehubungan itu, katanya, tindakan Zulkafperi itu disifatkan amat mengecewakan selain dianggap tidak memahami naluri dan kehendak rakyat.

"Sebenarnya apa matlamat beliau? Adakah apabila menjadi penyokong PM (Perdana Menteri) beliau akan memberikan khidmat lebih baik?

"Zulkafperi kena ingat, pengundi sudah menolak beliau sejak PRU14 pada 2018 lagi semasa bertanding atas tiket PH (Pakatan Harapan).

"Beliau menang PRU15 kerana gelombang rakyat terutama orang Melayu yang memberi sokongan kepada PN dan menolak PH," jelas beliau.

Tambah Noh, rakyat di Parlimen Tanjong Karang mahu pemimpin mereka selalu 'turun padang' dan mendengar permasalahan rakyat.

"Mendekati rakyat luar bandar bukan semata-mata menghulurkan bantuan, tetapi lebih penting ialah bagaimana menyantuni rakyat," jelasnya.

Sebelum ini, seramai lima wakil rakyat daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang). - Sinar Harian