PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak pelawaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat berkaitan isu Felda.

Sebaliknya tegas beliau, serahkan kuasa sepenuhnya kepada rakyat sebagai pengundi selain yakin masyarakat sudah jelas dengan fakta penyelewengan yang berlaku membabitkan agensi itu sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pilihan Raya ini menjadi saksi apa sahaja keputusan yang kita bincangkan, pemilih (pengundi) adalah ‘hakim’ yang paling terbaik dan mereka semua telah tahu tentang kedudukan sebenar Felda.

“Tak payah debat apa (lah), sudah nyata Felda diwaktu Najib menjadi Perdana Menteri banyak isu telah timbul yang telah membawa kesan kerugian besar kepada Felda.

“Najib tidak boleh tepis, kalau nak bahas sekalipun dia tidak akan dapat jawab, terduduk nak jawab macam mana cara nak jelaskan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan kejayaan penempatan perkhidmatan TV White Space (TVWS) di Lenga, di sini pada Rabu.

Sebelum ini Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Najib untuk berdebat bagi membongkar kecurangan sebenar yang berlaku dalam agensi berkenaan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan secara terbuka menyatakan kesediaan berdebat, namun menegaskan akan berdebat dengan Pengerusi PN dan bukan Mohamed Azmin.

Mengulas lanjut ujar Muhyiddin, kurang setahun pentadbirannya beliau sudah berjaya menyelesaikan pelbagai isu Felda termasuk pelupusan hutang.

“Tidak sampai setahun (mentadbir) saya telah hapuskan (hutang peneroka) dan pulihkan Felda sebagai organisasi ladang terbesar di dunia.

“Itu (semua) dilakukan oleh saya, apa yang Najib nak cabar data dan fakta yang terpampang di depan mata? Nak bahas apa lagi?. Tidak payah Mohamed Azmin, budak sekolah pun kalau lawan boleh menang debat seperti itu,” tegasnya.

BACA: Debat dengan Najib: 'Saya lebih tahu tentang Felda' - Azmin

Dalam pada itu ketika diaju soal siapakah calon Menteri Besar daripada PN sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini katanya, perkara itu hanya akan diumumkan selepas hari pengundian.

“Saya berpendapat, kita tidak perlu umumkan kerana tentunya akan ada Menteri Besar sekiranya kita menang.

“Ramai di antara calon mempunyai kriteria yang cukup, jadi perkara itu tidak menjadi masalah buat parti,”ujarnya.