KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menegaskan tidak akan sesekali menarik balik kenyataan menuntut DAP membuat permohanan maaf secara terbuka kepada parti itu.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendirian tegas itu dibuat demi menjaga masa depan parti keramat itu.

Ujar Dr Akmal, pihaknya tidak takut untuk berdepan sebarang tindakan susulan pendirian berkenaan.

“Biarlah orang kata kita langau, biarlah orang kata kita biadap, yang penting kita tahu kita sedang bawa suara rakyat di bawah ini (akar umbi).

“Kita tak gentar dengan apapun yang berlaku di depan selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi UMNO.

“Kami (Pemuda) sayang parti UMNO, kalau tak sayang kami tak bercakap perkara yang betul, kalau tak sayang kami tak duduk dalam dewan ini… kalau tak sayang kami tak pakai samping Pemuda UMNO,” katanya.

Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, tiada keperluan buat DAP untuk membuat permohonan maaf kepada UMNO.

Jelas Ahmad Zahid, perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan semula kerana segala perjanjian telah dipersetujui sewaktu fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Dr Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar menggesa agar DAP membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dalam menjalin kerjasama dengan UMNO.

Tegasnya lagi, tindakan itu juga penting bagi melembutkan hati ahli UMNO dan orang Melayu untuk membina kepercayaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Permohonan maaf secara terbuka itu antara lain juga merujuk kepada segala tohmahan yang pernah dilemparkan terhadap UMNO sepanjang kedua-dua parti itu bermusuhan.