Penjelasan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal milik MIC memberi 'signal' atau isyarat yang jelas parti itu akan terus kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, parti itu juga sudah memulakan gerak kerja yang cukup efisyen dalam mendekati pengundi di sana sejak beberapa tahun lalu.

"Kesemua usaha dan komitmen ini tidak harus diketepikan begitu sahaja. Ramai pemimpin tertinggi MIC bertanding di kerusi ini dan jelas menunjukkan Parlimen Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC.

"Dari hari pertama saya dihantar ke Cameron Highlands, saya berkerjasama secara erat dengan UMNO, MCA dan Gerakan bagi mengerakkan program-program rakyat sebagai menunjukan kekuatan BN (Barisan Nasional) jika kita bersatu di bawah satu payung.

"Sesiapa sahaja calon MIC yang mewakili BN yang akan ditampilkan di Parlimen ini pada PRU14 perlu memastikan momentum sokongan rakyat dan pengundi terhadap BN terus utuh bagi memastikan kerusi ini menyumbang satu undi kemenangan kepada BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: MIC yakin kerusi Cameron Highlands miliknya

BACA: Tiada sebab MIC mahu lepaskan kerusi Cameron Highlands - Sivarraajh

Sejak PRU 2004, kerusi itu dimiliki MIC dan kini disandang bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang ketika ini merupakan Anggota Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC pada 2015 semasa krisis dalaman parti itu.

Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands turut melahirkan keyakinan kepada keupayaan jentera BN di kawasan itu.

"Ia turut dibantu UMNO dan parti komponen lain dalam memastikan anasir-anasir negatif dan hasutan yang cuba dibawa pembangkang dapat dipatahkan," jelasnya.

Berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga suku ketiga 2017, jumlah pengundi berdaftar adalah 14,806,185 orang.

Daripada jumlah itu, 7.09 juta pengundi adalah mereka berusia 21 sehingga 39 tahun atau boleh diketegorikan sebagai pengundi muda.

Ujar Sivarraajh, statistik itu sekali gus memberi mesej supaya semua jentera pemuda terutama dari MIC perlu bekerja lebih keras lagi bagi memastikan sokongan anak muda akan sekali lagi berpihak kepada BN.

"Jumlah 7.09 juta itu bukan sedikit, ia memerlukan pendekatan dan gerak kerja yang menyeluruh bagi membolehkan setiap suara dan permasalahan mereka didengari.

"Parti politik khususnya BN perlu melakukan banyak lagi perancangan dan kerja selepas ini terutama untuk PRU14 yang pasti cabarannya jauh lebih hebat.

"Kita akan bersama sahabat Pemuda BN lain yang dipengerusikan Khairy Jamaluddin untuk terus berusaha mendekati seberapa ramai pengundi muda termasuk di bandar.

"Ia bagi menyampaikan mesej dan rancangan BN dalam membawa negara ini ke mercu lebih berjaya termasuk dibawah Transformasi Negara 2050 (TN50)," katanya.