KUALA LUMPUR: Dinamik arena politik di negara ini telah memperlihatkan banyak permusuhan yang tercetus dalam kalangan ahli politik yang berbeza ideologi boleh bertukar apabila mereka bekerjasama dalam satu gabungan atau pakatan.

Antaranya, penubuhan Kerajaan Perpaduan yang telah menyaksikan parti-parti politik yang sebelum ini tidak ‘sebulu’ kini sudah berkongsi bumbung dalam usaha memperkasakan agenda rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengakui sebelum ini wujud perang dingin melibatkan UMNO dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli, namun kini mereka telah mula berkongsi pentas.

Ujar Muhamad Akmal, parti politik dilihat sering berbicara mengenai soal perbezaan namun tidak pula melihat kepada aspek persamaan.

“Walaupun Adam Adli pernah turunkan bendera kita (UMNO), marahnya kita pada waktu itu kalau jumpa dia (Adam) pun rasa macam nak siat muka.

“Tetapi inilah kehebatan Allah apabila kita bersama, sekarang hilang rasa marah bila jumpa Adam,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Beliau dalam masa sama turut menyeru golongan anak muda untuk bersama-sama membawa perubahan dan mencipta sejarah politik yang baharu dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini termasuk tidak lagi membawa pendekatan ektremis dalam berpolitik dan tumpuan penuh diberikan terhadap soal persamaan.

“Orang muda perlu cipta sejarah politik yang baharu, kita perlu tunjuk rakyat di luar sana orang muda dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi bercakap soal ektremis, tapi kita perlu tumpu cari persamaan demi negara.

“Kalau nak kekal dalam Kerajaan Perpaduan perlu ada tiga perkara iaitu saling menghormati, persefahaman dan aspek kepercayaan antara satu sama lain… kerana inilah hari ini kita berada di atas pentas Kerajaan Perpaduan.

“Saya ada bangkang isu GLC, saya berbesar hati mohon maaf kepada sahabat-sahabat Amanah dan selepas ini kita bangunkan negara dengan politik yang lebih baik,” katanya lagi.

Mengimbas kembali saat negara mencapai kemerdekaan, Akmal berkata ia wajar dijadikan panduan bagi kerajaan ketika ini untuk terus kekal menerajui negara.

Malah kemerdekaan yang telah dicapai dulu mempunyai persamaan tentang matlamat yang cuba diusahakan ketika ini.

“Kita sukar capai kemerdekaan bila ada gerakan Malay Union tetapi ia mampu dicapai apabila tiga bangsa utama dalam negara bersatu.

“Sekarang mas untuk kita kembali hargai nilai kemerdekaan. Malaysia tidak boleh terbina dengan hanya satu kaum dan agama maka ia mesti terbina dalam pelbagai kaum agama dan fahaman politik,” ujarnya lagi.