ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew bersedia untuk menjadi Ketua Pembangkang baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sekiranya terpilih bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Johari Abdul yang mengosongkan kerusi DUN Gurun berkuat kuasa serta-merta.

Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah berkata, kesediaannya itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan bersama parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri itu terlebih dahulu.

"Apa pun kita akan bincang dulu, semua ADUN PH layak untuk menjadi Ketua Pembangkang… kita sekarang ada ADUN PKR, Amanah, DAP dan juga Pejuang serta UMNO. Sudah pasti, jawatan itu akan diberikan kepada ADUN daripada PH, tapi kalau mereka hendak lantik saya, saya tidak ada masalah

"Buat masa ini kita belum ada perbincangan bersama ADUN-ADUN PH mengenai pelantikan Ketua Pembangkang DUN Kedah yang baharu, lagi pun Sidang DUN Kedah dijangka pada Mac tahun depan, sekiranya pembubaran DUN awal, maka kita tak perlu lantik Ketua Pembangkang baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pagi Ahad, Johari yang juga ADUN Gurun dilaporkan telah mengosongkan kerusi berkenaan serta-merta.

Tanpa menyatakan sebarang sebab tindakannya itu, bekas Pengerusi PKR Kedah berkenaan melalui rakaman video menjelaskan, beliau sudah mengutus surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember lalu.

Pada 31 Oktober lalu, Johari dipilih sebagai Ketua Pembangkang baharu DUN Kedah bagi menggantikan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada Amanah sehari sebelumnya.

DUN Kedah menyaksikan Pas menyandang 15 daripada 36 kerusi DUN dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi, manakala UMNO hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PH pula mempunyai 13 kerusi DUN, masing-masing lima milik PKR diikuti tiga disandang Amanah, dua milik DAP, satu Bebas dan dua disandang Pejuang.