POLITIK
DUN Sabah bubar hari ini?

Berikutan tiada pengesahan sebarang sidang media, para pengamal media kini dalam mod ‘standby’ dengan berkumpul di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah dan di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, Hajiji Noor di Sri Gaya.
KOTA KINABALU: Pagi yang cerah di Kota Kinabalu terus panas dengan cerita politik apabila Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada Isnin.
Hajiji lengkap bersongkok dan sut dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu pada jam 8.51 pagi dan keluar kira-kira sejam kemudian.
Perkara itu menimbulkan spekulasi sama ada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan dibuat hari ini.
Setakat ini tiada sebarang jemputan media berhubung sidang media khas Hajiji oleh Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri.Pada Jumaat lalu Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memaklumkan akan membuat jemputan untuk sidang media berkaitan pembubaran DUN Sabah apabila tiba masanya.
Selain itu, berikutan tiada pengesahan sebarang sidang media, para pengamal media kini dalam mod ‘standby’ dengan berkumpul di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah dan di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata demikian dalam sidang media di DUN Sabah pada Ogos lalu.
Hajiji memimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Di blok pembangkang, parti-parti lain ialah Warisan; Barisan Nasional; Perikatan Nasional (Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami