KUCHING: Persidangan hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula dengan bacaan Rang Undang-undang (RUU) untuk menamakan semula jawatan Ketua Menteri menjadi 'Premier'.

Bacaan pertama dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ujarnya usul tersebut selaras dengan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 Akta A1642 yang telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa 11 Februari lalu.

"Ia setelah meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan mengembalikan peruntukan asal Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia dalam 1963 tanpa merujuk kepada Singapura.

"Manakala takrifan 'Persekutuan' dalam fasal (2) Perkara 160 telah dipinda mengikut Perjanjian yang berkaitan dengan Malaysia bertarikh 9 Julai, 1963 dan menurut kuasa Perjanjian berkaitan pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai Negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965," ujarnya.

Justeru, cadangan untuk menamakan semula jawatan ketua menteri menjadi 'Premier' dilihat perlu untuk membezakan kedudukan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Tambah Abdul Karim, perlembagaan Sarawak juga harus dipinda.

"Pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat asalnya dipertimbangkan oleh pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia, 1963 (MA63) dan iaitu, apabila Sarawak bersetuju untuk menjadi parti dalam pembentukan Malaysia, ia adalah bertujuan supaya Sarawak mengekalkan statusnya sebagai salah satu daripada tiga wilayah untuk membentuk Malaysia.

"Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan tidak boleh dianggap sebagai sama taraf dengan negeri-negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu. 

"Status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada yang lain Negeri dalam Persekutuan," tegas Karim.

DUN Sarawak | RUU jawatan KM kepada 'Premier' dibentang


Karim juga mengemukakan usul untuk menukar gelaran 'Menteri Muda' menjadi Timbalan Menteri untuk membantu perlaksanaan tugas Ketua Menteri dan Menteri.

Ujarnya, melihat kepada tanggungjawab yang dipikul, adalah perlu untuk mencerminkan penetapan dan terma yang betul daripada Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.

Isi terakhir daripada bacaan pertama RUU oleh Karim adalah menyentuh berkaitan pindaan tafsiran untuk Persekutuan. Kata Karim, oleh kerana takrifan Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dipinda, adalah perlu takrif Persekutuan dalam Perlembagaan Negeri turut dipinda.

"Pada masa ini, di bawah Perlembagaan Negeri, Persekutuan membawa maksud Persekutuan yang dikenali, pada dan selepas Hari Malaysia, dengan nama Malaysia.

"Manakala sebelum pindaan takrifan Persekutuan dalam Perlembagaab Persekutuan baru-baru ini, takrif Persekutuan itu membawa makna Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957," tambahnya.