KUALA LUMPUR: Senaskah risalah mengecam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertajuk 'Bossku masih tidak mendapat keadilan.. Apa guna UMNO berkuasa dan Datuk Seri Zahid jadi TPM' dikesan diselit pada kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi yakin, tindakan itu berkemungkinan dilakukan mereka yang digantung atau dipecat daripada parti itu.

"Ini percubaan untuk pecah belahkan UMNO. Ini kerja orang dalam yang bergabung dengan orang luar. Tidak hairan segelintir kluster gantung dan pecat UMNO terlibat.

"Tetapi mereka terkedu apabila Ahmad Zahid bangkitkan isu pembelaan Najib dalam ucapan dasarnya. Bahkan video ucapan (Datuk) Mohd Nizar Najib ditayangkan.

"Beliau menyampaikan pesanan ayahnya (Najib) supaya pertahankan kerajaan Perpaduan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hadir dan mendengarnya. Puak ini mahu (Ahmad) Zahid lemah. Maka lemahlah kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Puad juga menyifatkan kandungan risalah itu sebagai tuduhan berat kepada Ahmad Zahid yang didakwa tidak membela Najib.

Dua tahun lalu, senaskah risalah 14 muka surat bertajuk ‘Kronologi komplot Anwar Ibrahim-Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan’ dikesan diedar kepada ahli UMNO melalui pos.

Isi kandungan risalah berkenaan mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).