RAUB: Tumpuan kerja terhadap usaha membantu memperkasakan pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat menjadi tunjang kepada agenda parti DAP berbanding soal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang selewat-lewatnya diadakan pada 2027.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata tanggungjawab dan tugas parti semakin bertambah selepas menjadi sebahagian daripada parti komponen Kerajaan Perpaduan yang kini terbentuk bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di beberapa negeri termasuk Pahang.

"Saya percaya yang penting ialah kerajaan perlu fokus menambah baik tatakelola pentadbiran, mengukuhkan ekonomi supaya terus berkembang, fokus untuk rakyat mendapat pendapatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

"Kita fokus dahulu kepada soal kerja dan soal PRU16 kemudian. Pilihan raya lambat lagi. Kalau setiap hari kita berfikir tentang pilihan raya, bagaimana kita hendak fokus pada kerja. Kerja dalam kerajaan bukan hanya kepada pilihan raya," katanya.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pahang 2023 di sini, hari ini

Loke berkata kerja yang berfokus dan menunjukkan hasil boleh mengubah sentimen pengundi yang amat penting pada tahun PRU16 diadakan, menjadikan beberapa tahun mendatang sebagai cabaran kepada parti dan Kerajaan Perpaduan untuk menguruskan negara dan negeri dengan sebaik mungkin.

Pada perkembangan berkaitan, beliau menegaskan DAP memberikan sepenuh komitmen kepada kerjasama politik yang disertainya termasuk bersama Barisan Nasional (BN) selepas mereka sama-sama menjadi sebahagian daripada komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

"Bila kita membentuk kerjasama, itu adalah satu ikatan dan kita berpegang kuat kepada ikatan itu. Politik ini tidak boleh main-main kerana ia melibatkan pentadbiran negara dan negeri. Dalam sejarah kita (DAP), bila masuk dalam satu kerjasama kita komited.

"Parti lain, lainlah. Mungkin mereka tidak begitu komited pada kerjasama seperti yang dibuktikan Bersatu dan PAS sebelum ini. Mereka tidak komited kepada sesuatu kerjasama dan sekejap sahaja mereka boleh berubah," katanya.

Berkaitan DAP Pahang, Loke berkata cabaran telah diberikan kepada DAP negeri di bawah pimpinan pengerusinya, Datuk Leong Ngah Ngah untuk memperkasakan parti di peringkat akar umbi termasuk menambah cawangan daripada 57 cawangan buat masa ini.

Beliau berkata kejayaan DAP mengekalkan dua kerusi Parlimen iaitu Raub dan Bentong serta enam daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada pilihan raya umum lepas dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri juga pencapaian agak luar biasa.

"Kita tahu selama ini perjalanan politik DAP Pahang amat sukar. Tetapi kita mempunyai pemimpin veteran dan ahli yang taat kepada perjuangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ini semangat dan satu nilai penting kepada parti," katanya.

-- BERNAMA