KUALA LUMPUR: Anggota Friends of Barisan Nasional akan berpeluang menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berdasarkan sumbangan dan kerjasama mereka membantu gabungan itu dalam setiap pilihan raya.

"Kita adik-beradik. Mereka banyak bantu kita dalam pilihan raya. Saya akan berunding dengan semua parti Friends of BN, semua presiden parti komponen dan ‘top five’ dalam UMNO untuk bincang calon sesuai,” katanya yang juga Presiden UMNO pada sidang media sempena Konvensyen BN di ibu negara, semalam.

Enam parti Friends of BN adalah Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia, Parti Cinta Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata, PRU15 akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan tidak akan dilengahkan sejurus BN bersedia.

"Apabila kita (BN) bersiap sedia, saya sebutkan, saya tidak akan melewatkan sesaat pun untuk bubar Parlimen.

"Seperti yang dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO, saya akan berbincang dengan 'Top Five UMNO' dalam Majlis Kerja Tertinggi.

"Dan hari ini saya bersetuju akan berbincang dengan kepimpinan BN dalam menentukan tarikh," ujar Ismail Sabri.