KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak bagi menggantikan terma Ketua Menteri kepada 'Premier' sebagai tindakan syok sendiri.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu tiada keperluan untuk menukar gelaran berkenaan semata-mata bagi menunjukkan perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain di Malaysia.

"Ya syok sendirilah.

"Pada ketika anda (Abang Johari) keluar dari Sarawak, anda tetap dipandang sebagai ketua menteri, sama seperti ketua menteri negeri lain.

"Justeru kami tidak akan menyokong pindaan perlembagaan ini kerana ianya tidak memberi sabarang manfaat," tegasnya.

Chien Jen berkata demikan ketika ditemui di bilik media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching pada Selasa.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 Chieng Jen membangkitkan persoalan berhubung penggunaan terma Premier dalam bahasa Melayu sekiranya ia digunapakai selepas pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak diluluskan.

Menurutnya, perkataan ‘Premier’ tiada di dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan negeri.

“Terdapat laporan menggunakan terma ‘Perdana Menteri’ sebagai terjemahan kepada Premier.

“Jadi apakah terma yang betul dan tepat untuk gelaran Premier (Bahasa Inggeris) di dalam bahasa Melayu, kerana kita di Sarawak mempunyai dua bahasa rasmi di sini (Sarawak),” soalnya.

Chieng Jen yang membantah usul berkenaan, bagaImanapun menyokong penggantian terma Menteri Muda kepada Timbalan Menteri.

BACA: DUN Sarawak: RUU bagi namakan semula jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier' dibentang