Ramai dalam kalangan ahli perundangan berpendapat Datuk Lokman Noor Adam telah menghina mahkamah kerana mereka menganggap kenyataannya mempersoalkan keputusan mahkamah.

Menggesa agar tindakan diambil terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, mereka berpendapat Lokman telah mengeluarkan kritikan yang melampaui batas dengan mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengaruhi badan kehakiman Mahkamah Tinggi apabila memutuskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diarah membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyampaikan keputusan itu pada Isnin, memerintahkan Najib membela diri atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan sejumlah RM42 juta daripada dana SRC.

Peguam jenayah Datuk N. Sivananthan berkata dakwaan Lokman itu 'jelas menghina mahkamah' kerana mencadangkan hakim membuat keputusannya di bawah pengaruh pihak ketiga.

"Ini bukan hanya menjejaskan imej hakim tetapi juga badan kehakiman. Ia menjadikan mahkamah tidak lagi dipercayai dan kenyataan seperti ini juga menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan," katanya kepada Bernama.

"Mahkamah sepatutnya mengeluarkan notis kepada Lokman untuk hadir ke mahkamah dan menjelaskan mengapa prosiding komital tidak boleh dimulakan ke atasnya... kerana perbuatannya dianggap menghina mahkamah. Mahkamah harus mengambil tindakan terhadapnya," kata Sivananthan.

Berkongsi sentimen yang sama, Presiden Majlis Peguam Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata ia adalah tuduhan yang serius dan Lokman telah mempersoalkan integriti badan kehakiman dan melampaui kritikan yang adil terhadap keputusan itu serta tidak mempunyai merit.

"Ia bertujuan untuk menghakis keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman dan menjejaskan integriti dan kesaksamaan mahkamah yang selalu dianggap adil dalam keputusan mereka, dibuat berdasarkan fakta dan bukti.

"Majlis berpendapat kenyataan itu sebagai penghinaan. Serangan (kenyataan) terhadap mahkamah tidak sepatutnya dibuat dan mestilah dihindari setiap masa," katanya.

BACA: Hishammudin percaya tiada campur tangan PM dalam kes Najib

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar juga berpendapat kenyataan itu mengkritik mahkamah, ia adalah perbuatan menghina yang boleh dijatuhi hukuman penjara.

"Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan prosiding komital terhadap pihak yang menghina atas alasan kenyataan yang dikeluarkan boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman," katanya dan memetik kes baru-baru ini yang seorang peguam dipenjarakan 30 hari kerana menghina mahkamah.

"Mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara, berdasarkan tahap kritikan yang dibuat, jika tiada permohonan maaf dikemukakan," kata peguam yang merupakan bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya.

BACA: Lokman berjenaka tuduh Tun Mahathir terlibat keputusan mahkamah Najib - Khairuddin

Gurdial Singh menegaskan bahawa mahkamah harus mengambil pandangan yang serius mengenai perkara itu kerana ia mencemarkan nama baik badan kehakiman secara keseluruhannya dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Pada Selasa, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan Lokman kononnya Dr Mahathir campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan Najib menyatakan ia tuduhan tidak berasas sama sekali, kerana proses undang-undang di negara ini berjalan secara telus serta bebas dan ia perlu dihormati.

-- BERNAMA