KUCHING: Kerajaan Sarawak bukan lalang dalam memberi sokongan kepada pentadbiran Kerajaan Pusat ditadbir Perikatan Nasional (PN) ekoran penarikan sokongan UMNO.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jika dilihat sebelum ini Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN bagi kestabilan politik sekali gus meneruskan usaha menangani COVID-19.

Beliau berkata, apa pun situasinya kelak, kata putus dari kerajaan Sarawak dalam pergolakkan politik yang sedang berlaku ini akan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Saya tidak boleh bercakap untuk pihak GPS, tetapi sebelum ini kita tahu, GPS telah memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan PN ketika itu untuk mengekalkan kedaulatan Malaysia, dan kita akan kekal atas prinsip tersebut.

"Kerajaan Sarawak bukan lalang, kita tidak lompat ke sana... ke sini. Malah tidak ada yang menghubungi kita di Sarawak pada ketika itu untuk menyokong Perdana Menteri, tetapi dalam kes sekarang melibatkan Perikatan Nasional, kerajaan Sarawak akan mengkaji dahulu senario ini adakah baik atau tidak kepada Malaysia, jika baik, maka kita akan menuju ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan sambutan 130 tahun muzium Sarawak di Kuching pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Abdul Karim juga berharap tidak ada pemimpin parti politik yang cuba mengambil kesempatan dalam pergeseran politik negara itu sekali gus mengheret Yang di-Pertuan Agong.

"Jangan bawa Yang di-Pertuan Agong dalam polemik politik negara, biarkan Baginda menjadi Ketua Perlembagaan memegang kuasa sebagai individu yang boleh disandarkan untuk mendapatkan pandangan serta nasihat.

"Bagi saya, Baginda mempunyai kredibiliti yang sangat tinggi, jangan heret Yang di-Pertuan Agong dalam masalah-masalah ahli politik, kerana ini sangat tidak sihat dan tidak mencerminkan keharmonian Malaysia," katanya.

BACA: PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Ujarnya, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.