Kerajaan Sarawak menyokong hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu membentuk barisan kabinet yang bersih dan berintegriti, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, keputusan untuk memilih jemaah menteri yang bersih serta berkaliber dalam kabinet baharu itu merupakan langkah yang tepat, selaras dengan harapan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Itu yang sepatutnya dilakukan, saya bersetuju dengan beliau,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis perasmian Forum Keharmonian Antara Penganut Agama peringkat negeri Sarawak di Kuching pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas janji berkenaan yang dibuat oleh Muhyiddin dalam ucapan sulung yang disiarkan secara langsung menerusi rangkaian televisyen dan media sosial, malam Isnin.

Mengulas mengenai sokongan kepada Perdana Menteri, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, sokongan berkenaan diberikan demi menyelamatkan negara, selain patuh kepada titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti yang anda tahu, keputusan GPS adalah untuk selamatkan negara daripada ketidakstabilan politik.

“Ini kerana negara berada dalam kekacauan politik dan semestinya GPS perlu melihat kembali kepada perjuangan asas GPS iaitu untuk melindungi kepentingan Sarawak dan Malaysia,” katanya.

BACA: Sudah-sudahlah takutkan rakyat Sarawak - Fadillah Yusof

BACA: Sokongan GPS kepada Muhyiddin bukan untuk lobi jawatan Kabinet

Dalam perkembangan sama, Abang Johari menegaskan kerajaan GPS sentiasa mementingkan rakyat negeri itu.

Katanya, biarpun negara berdepan dengan kemelut politik, GPS akan terus meletakkan ‘Sarawak First’ dalam menjalankan tugasnya demi rakyat negeri itu.