KOTA KINABALU: Langkah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pilihan raya negeri akan datang hanya pandangan peribadi Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan parti itu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata parti itu menghormati pandangan tersebut, bagaimanapun, ia tidak melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

Beliau berkata perkara berkaitan kerusi DUN Sabah itu masih belum lagi dibincangkan pimpinan tertinggi GRS kerana fokus kerajaan negeri ditunjangi GRS pada masa ini ialah untuk terus melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

"Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi 'Langkah Kinabalu' pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan Parti Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

"Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak daripada GRS dan PH Sabah," katanya menerusi kenyataan pada Isnin malam.

Semalam, Yong, yang juga Timbalan Presiden GRS, berkata gabungan itu harus bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah pada pilihan raya negeri akan datang dan tiada keperluan untuk melakukan perbincangan bagi kerjasama dengan parti bukan tempatan Sabah pada pilihan raya itu.

Parti komponen GRS, diterajui Hajiji selaku pengerusinya, terdiri daripada Gagasan Rakyat, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

-- BERNAMA