KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) dikerah membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari menganggap kenyataan Lim adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang berisiko menjejaskan kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, nah sekarang apa tindakan?” soal Fadhli dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli merupakan pemimpin kedua Pas yang tampil lantang mengutuk keras kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas Khairil Nizam Khirudin berkata, dakwaan Lim bahawa PN akan memusnahkan tokong jika berjaya mentadbir Pulau Pinang menggambarkan DAP sebagai sebuah parti ekstrem.

Lim bagaimanapun menafikan beliau pernah mendakwa PN akan merobohkan tokong sekiranya berjaya menawan Pulau Pinang.

Sebaliknya, kata beliau, ucapannya dalam bahasa Mandarin itu telah diputarbelitkan seolah-olah ada pihak yang ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

“Ini tidak benar. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah ia membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” tegas Lim.

Lim menjelaskan, ucapannya itu dibuat merujuk kepada kes sebuah tempat ibadat Hindu yang dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah. 

Baru-baru ini, pihak polis mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya ketidakharmonian dalam kalangan rakyat terutamanya institusi diraja, agama dan bangsa sepanjang perjalanan PRN nanti.