KUALA LUMPUR: Had umur Ketua Pemuda UMNO Malaysia perlu diturunkan kepada di bawah 40 tahun seiring memastikan pergerakan itu terus relevan, segar dan muda.

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pemuda UMNO Parit, Ahmad Shamil Mohamed ketika berucap pada mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit, semalam.

"Bukan seperti sekarang Ketua Pemuda UMNO Malaysia tiada had umur untuk dipertandingkan.

"Survival sayap Pemuda perlu diutamakan dan walaupun perkara ini pernah kita usulkan, kali ini sekali lagi saya mencadangkan agar had umur ahli UMNO bermula pada umur 16 tahun dan diwujudkan kembali Briged Putra," katanya memetik laporan portal UMNO Online.

Malah, beliau pada masa sama berpandangan satu jawatan tertinggi dalam parti perlu diperuntukkan kepada golongan belia parti itu.

"Selain itu jawatan tertinggi parti, contohnya satu kerusi Naib Presiden boleh dibuka ruang untuk mereka yang berumur 50 tahun ke bawah.

"Baru orang muda tengok UMNO sebuah parti yang relevan kepada orang muda dan memberi peluang kepada orang muda untuk bersama-sama dalam saf kepimpinan parti," katanya lagi.